Tasik Kenyir adalah tasik buatan manusia terbesar di Asia Tenggara dengan keluasan melebihi 260,000 hektar. Ia telah terbentuk daripada beberapa sungai oleh pembinaan empangan sepanjang tempoh 1978-1985 bagi mewujudkan Stesen Janakuasa Hidroelektrik Sultan Mahmud.

Gambar oleh S. Walton

SEJARAH

Sebelum terbentuknya tasik, kawasan ini merupakan sebuah pusat tamadun awal. Gua di sekitar tasik ini, iaitu Batu Tok Bidan dan Gua Bewah, telah menghasilkan penemuan arkeologi penting seperti alat-alat batu dan kapak sejak era Neolitik (kira-kira 10,000 tahun dahulu).

Apabila kawasan ini ditenggelami air antara tahun 1978 dan 1985 kebanyakan puncak bukit kekal di atas paras air, mewujudkan 340 pulau-pulau buatan manusia. Banyak gua yang belum diterokai, bersama-sama dengan Batu Tok Bidan yang telah mungkin tenggelam semasa terbentuknya Tasik Kenyir. Hanya Gua Bewah dan Gua Taat, iaitu yang masih kekal boleh diakses kepada orang ramai.

Sebelum dilimpahi air yang membanjiri kawasan takungan, gua Batu Tok Bidan telah digali pada tahun 1959 oleh R.Noone, dan kemudiannya oleh Persatuan Sejarah Malaysia pada tahun 1976. Cengkerang Moluska yang menunjukkan tanda-tanda dimakan oleh manusia (hujung tip putus) telah ditemui, menunjukkan tempat berkenaan sering digunakan sebagai tempat tinggal pada masa lalu, pra-sejarah. Satu perkuburan Neolitik juga dijumpai di tempat ini, dengan tembikar pecah diletakkan di kaki si mati.

Pada tahun 2010 tinggalan rangka manusia dipercayai dari Zaman Mesolitik ditemui di Gua Bewah. Tinggalan rangka wanita itu telah disahkan berusia 13,400 tahun. Pada tahun 2012 media melaporkan penemuan rangka prasejarah kedua, juga di Gua Bewah, dan tidak jauh dari kawasan di mana rangka yang pertama telah dijumpai.

Gua Bewah oleh S. Walton

EMPANGAN KENYIR

Perancangan dan pembinaan empangan menjangkau lebih daripada 15 tahun, bermula pada tahun 1972 dengan tinjauan projek. Pembinaan empangan isian batuan utama bermula pada tahun 1978 dan empangan itu siap sepenuhnya pada tahun 1985. Ia telah dibuka secara rasmi pada tahun 1987 oleh Sultan Terengganu dan dinamakan Stesen Janakuasa Hidroelektrik Sultan Mahmud dengan perkenan baginda. Tasik ini boleh menyimpan 13.6 bilion meter padu air dan boleh menghasilkan 100 MW untuk bekalan di seluruh Malaysia.

KEPENTINGAN EKOLOGI

Tasik Kenyir dan hutan tropika di sekitarnya adalah menjadi rumah kepada pelbagai flora dan fauna dengan 2,500 spesies tumbuhan, 8,000 spesies bunga, 290 spesies burung dan 61 spesies ikan telah direkodkan. Banyak spesis ini jarang ditemui dan endemik kepada kawasan ini.

?????????????

Penternakan Sangkar Sg. Como (gambar diambil dengan menggunakan drone)

KEPENTINGAN SOSIOEKONOMI

Tasik Kenyir merupakan destinasi ekopelancongan yang popular, dengan beribu-ribu pelawat datang melawat setiap tahun untuk mengambil bahagian dalam aktiviti-aktiviti seperti bersiar-siar, memancing, berenang, meredah hutan dan mencerap / memerhati burung. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini bilangan taman (contohnya Taman Burung Pulau Mati) dan perlindungan (contohnya Santuari Gajah Sungai Telemong) telah dibina untuk menjana pendapatan daripada kemasukan pelancong di samping melindungi beberapa spesies endemik yang terancam. Selain daripada pelancongan, ekonomi tempatan juga didorong oleh penangkapan ikan secara komersial dan pengeluaran hasil ikan (sangkar).

Memancing pada waktu senja oleh S. Walton

ANCAMAN DAN MASALAH

Tasik Kenyir sentiasa berubah-ubah. Hutan yang ditenggelami perlahan-lahan mereput mengubah kualiti air dan ciri-ciri habitat dalam air. Pengelodakan merubah sifat substrat dan topografi dasar tasik. Proses-proses ini berpotensi mengancam hasil tangkapan ikan dan akuakultur serta mengurangkan nilai estetik kawasan tersebut.

Pembangunan industri pelancongan juga membawa ancaman yang berpotensi kepada pengeluaran, kepelbagaian biologi dan nilai estetik Tasik Kenyir. Pembangunan kemudahan dan akses menjadi punca kemusnahan habitat manakala pengeluaran sisa kumbahan, sisa pepejal, baja, racun perosak, bahan api dan asap ekzos akan merosakkan alam sekitar serta mengancam perkhidmatan ekosistem alam sekitar yang tersedia.

Penangkapan ikan secara berlebihan, stok dan aktiviti akuakultur yang tidak terkawal juga mengancam spesies endemik melalui pengurangan bilangan ikan melalui tangkapan, persaingan dari spesies baru serta pencemaran, penyakit dan jangkitan dari penternakan sangkar.

Tasik Kenyir oleh S. Walton