2 – 6 November 2018: Ekspedisi ini telah diadakan selama 5 hari bermula pada 2 hingga 6 November 2018 bertempat di Taman Negeri Setiu Wetlands, Setiu, Terengganu. Lokasi ekspedisi ialah lagun dan Tasik Berombak. Ekspedisi ini merupakan anjuran Jabatan Taman Negeri Terengganu bersama Institut Biodiversiti Tropika dan Pembangunan Lestari (BIO-D TROPIKA), Universiti Malaysia Terengganu (UMT). Ekspedisi ini telah menerima kunjungan daripada Profesor Dato’ Dr. Nor Aieni Binti Haji Mokhtar, Naib Canselor UMT pada hari pertama iaitu 2 November 2018.

Seramai 88 orang penyelidik beserta urusetia telah menyertai ekspedisi ini. Ia telah mendapat penyertaan daripada institut dan pusat pengajian dalam UMT serta pihak agensi iaitu Pejabat Tanah dan Galian Terengganu, World Wildlife Fund (WWF), Pejabat Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), Pejabat Perhutanan Terengganu, PETRONAS, Jabatan Taman Negeri, Jabatan Perikanan, Pejabat Daerah Setiu (PDS) dan Sekolah Kebangsaan Menerong, Ajil.

Ekspedisi ini diadakan untuk membuktikan komitmen UMT kepada usaha pemuliharaan kawasan ini oleh Kerajaan Negeri Terengganu melalui pewartaannya pada akhir 2017, seraya meningkatkan kerjasama UMT dengan semua agensi berkaitan dengan pengurusan Taman Negeri Setiu Wetland serta memperkenalkan kawasan perlindungan ini kepada para penyelidik UMT yang baru dengan kawasan ini serta membantu penyediaan maklumat lengkap status warisan alam dan budaya yang terdapat di sini untuk rujukan Jabatan Taman Negeri Terengganu dalam memastikan pembangunan lestari kawasan perlindungan tersebut. Ekspedisi ini juga diadakan untuk membuka peluang untuk para penyelidik berkaitan untuk berkongsi dapatan kajian mereka sewaktu ekspedisi dijalankan melalui platform pameran penyelidikan yang akan dilansungkan pada waktu yang sama.

Terdapat tiga objektif pelaksanaan ekspedisi ini iaitu untuk (i) menunjukkan komitmen UMT kepada usaha yang dijalankan oleh Kerajaan Negeri Terengganu dalam pemuliharaan ekosistem dan kelansungan hidup komuniti setempat di Setiu Wetland dengan menyediakan sebuah inventori tentang khazanah alam (flora dan fauna) serta budaya manusia untuk rujukan ilmiah dan pengurusan Jabatan Taman Negeri Terengganu dalam melaksanakan pengurusan lestari bagi Taman Negeri ini serta menjadi asas bagi perkongsian awam dalam bentuk yang sesuai, (ii) meningkatkan pertalian kerjasama dengan semua agensi yang terlibat dalam membantu pengurusan Taman Negeri Setiu Wetlands dan (iii) menyediakan platform kepada penyelidik dalam bidang sains dan sains sosial yang belum mengenali Setiu Wetland untuk turun padang bersama dengan rakan penyelidik mereka yang sudah lama “berkampung” di sini dalam menjalankan kajian berkaitan khazanah alam dan budaya Taman Negeri Setiu dan persekitarannya.

Di antara output yang terhasil daripada ekspedisi ini ialah laporan kajian dari ekspedisi termasuk inventori spesis dan status persekitaran Setiu Wetlands bersama Jabatan Taman Negeri, Seminar Penyelidikan Setiu Wetlands yang akan meningkatkan profil Taman Negeri Setiu Wetlands sebagai tapak pemuliharaan khazanah alam dan kelansungan hidup yang utama di Malaysia. Lokasi Ekspedisi Taman Negeri SW 5 dan Liputan Khas media cetak dan TV.