1 Mac 2018 -28 Februari 2019: Institut Biodiversiti Tropika dan Pembangunan Lestari (BIO-D TROPIKA) telah menerima peruntukan daripada Dana Khas: Teras Pemindahan Ilmu bagi tahun 2018 yang dikenali sebagai Knowledge and Technology Assimilation Grant Scheme (KTAGS 2018) yang diketuai oleh Dr. Nor Hayati Binti Sa’at, Timbalan Pengarah (Pembangunan Sosioekonomi), BIO-D TROPIKA. Geran ini adalah di bawah peruntukan Pusat Pemindahan Ilmu dan Jaringan Industri (PIJI), Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Terdapat tiga objektif pelaksanaan program pemindahan ilmu UMT, iaitu, peningkatan pendapatan peserta dan isi rumah; pembangunan modal insan dan perubahan taraf hidup sosioekonomi penduduk. Seiring dengan objektif tersebut, institut BIO-D TROPIKA melaksanakan projek memperkasakan komuniti orang asli, iaitu ‘Pembangunan dan Pemerkasaan Komuniti Orang Asli Batek’ di Kampung Sungai Sayap, Besut. Projek yang dilaksana ialah projek madu kelulut. Geran ini bermula 1 Mac 2018 hingga 28 Februari 2019. Walau bagaimanapun, disebabkan beberapa masalah teknikal yang tidak dapat dielakkan, projek ini bermula pada bulan September 2018. Perbincangan awal bersama komuniti Orang Asli Sungai Sayap pada 12 September 2018 bagi sesi pemilihan peserta.

Bagi menjayakan program pemindahan ilmu ini, ia perlu menjalin kerjasama dengan agensi dan industri berkaitan. Justeru, projek ini telah mendapat kerjasama daripada agensi Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Pejabat Daerah Besut, komuniti Orang Asli Sungai Sayap dan industri. Pihak industri dipilih ialah Syarikat Four N Jaya Trading bagi membekalkan sarang madu kelulut dan sesi konsultasi dengan komuniti.

Pada 16 Disember 2018, satu program dilaksanakan di Kampung Sungai Sayap, Hulu Besut, Terengganu iaitu “Program Jalinan Kasih bersama Komuniti Orang Asli Sungai Sayap”. Program ini bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan bersama komuniti  disamping sebagai platform pemindahan ilmu dan keusahawanan serta mewujudkan jaringan kerjasama agensi dengan komuniti Orang Asli. Program ini telah melibatkan seramai 60 orang yang terdiri daripada komuniti Orang Asli Sungai Sayap, pihak Universiti Malaysia Terengganu iaitu penyelidik, staf dan pembantu penyelidik BIO-D TROPIKA dan Pengarah PIJI serta pihak agensi iaitu Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Kelantan/Terengganu dan JAKOA Terengganu, pejabat FELCRA serta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).