25 – 28 Februari 2018: Program Lawatan Kolaborasi Penyelidikan dan Penerbitan di Sarawak telah diadakan pada 25 hingga 28 Februari 2018 (Ahad hingga Rabu). Seramai 3 orang penyelidik yang terdiri daripada Pengarah dan dua orang Timbalan Pengarah serta dan 2 orang pegawai di Institut Biodiversiti Tropika dan Pembangunan Lestari dan seorang staf Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC), UMT telah menyertai lawatan ini.

Program ini diadakan bagi menjalin kolaborasi penyelidikan dan penerbitan serta memperkenalkan Institut Biodiversiti Tropika dan Pembangunan Lestari dengan tiga institusi dan dua buah perkampungan nelayan di Sarawak iaitu Universiti Malaysia Sarawak (Pusat Asasi dan Fakulti Sains Sosial), Sarawak Forest Corporation, Muzium Sarawak, Kampung Bako dan Kampung Telaga Air di Kuching, Sarawak. Lawatan ini juga diadakan di Kampung Budaya Sarawak. Selain itu, lawatan ini juga diadakan bagi mendapatkan maklumat dan data berkaitan untuk tujuan potensi penyelidikan dan penerbitan di perkampungan nelayan iaitu di Kampung Bako dan Kampung Telaga Air di Kuching, Sarawak. Di antara potensi kolaborasi lawatan ialah seperti penyelidikan dan pemerkasaan, penerbitan (jurnal/buku penyelidikan/buku suntingan), pelantikan Felo Bersekutu, pelantikan post doctoral, pelajar siswazah, program pemindahan ilmu dan perbincangan MOU/MOA.

Objektif lawatan ini adalah untuk menjalinkan hubungan dan membina jaringan dengan pihak universiti, agensi dan komuniti, mendapatkan kolaborasi bagi penyelidikan dan penerbitan kepada institut dan mempromosikan jurnal di UMT iaitu JSSM dan JBSD kepada pihak universiti dan agensi yang terlibat. Pihak yang terlibat dalam lawatan ini ialah Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) terutama Pusat Asasi, Fakulti Sains Sosial dan Institut Kajian Borneo, Muzium Sarawak dan Sarawak Forest Corporation manakala komuniti adalah terdiri daripada komuniti nelayan di Kampung Bako dan Kampung Telaga Air, Kuching Sarawak.

Hasil daripada lawatan kaloborasi ini ialah pihak BIO-D TROPIKA telah melantik dua orang felo bersekutu daripada UNIMAS iaitu Dr Arnold Puyok, Timbalan Dekan (Siswazah dan Penyelidikan) dan Prof. Madya Dr. Shahren Ahmad Zaidi Adruce, Pengarah Institut Kajian Borneo. Selain itu ialah potensi penyelidikan (multidisciplinary research) bersama pihak Fakulti Sains Sosial dan Institut Kajian Borneo, UNIMAS berkenaan community index dan penerbitan dalam Journal of Borneo Kalimantan serta penerbitan special issues on JSSM dari FSS, UNIMAS. Pihak UNIMAS juga telah menjemput Pengarah BIO-D TROPIKA sebagai pengucaptama bagi 14th International Borneo Research Council Conference. Seterusnya ialah program internship pelajar biodiversiti (taxodomi) di Muzium Sarawak dan melalui lawatan ini pihak BIO-D TROPIKA Mendapat gambaran berkenaan aktiviti-aktiviti yang dijalankan di Kampung Budaya Sarawak untuk diaplikasikan kepada Kenyirus Ecopark di Tasik Kenyir.